Sunday, October 23, 2016

Tiket Percuma Mini Konsert Amal Dangdut Asia, Hadiah Buat Peminat BY yOUTH bERNAMA

http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1282573


 

Tiket Percuma Mini Konsert Amal Dangdut Asia, Hadiah Buat Peminat

Oleh Nurulhuda Mansor

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Mini Konsert Amal Dangdut Asia bakal diadakan secara percuma sebagai hadiah buat peminat di The Gardens Theatre, Mid Valley pada 23 Sept ini dengan pembelian album kompilasi 'Dangdut Asia.'

Neway Karaoke dengan kerjasama Penerbit Album, D'or Entertainment akan merealisasikan Konsert Mini 'Dangdut Asia' yang bertemakan 'One Asia' sebagai pemangkin kepada industri muzik tempatan, terutama irama dangdut Malaysia.

Pengurus Pemasaran Neway Karaoke, Janet New berkata, "Ini adalah kali pertama pihak kami terlibat dengan mini konsert sebegini, jadi ia merupakan hadiah buat para peminat dangdut di luar sana untuk menonton secara percuma."

"Ini juga adalah salah satu cara untuk mempromosikan irama dangdut di Malaysia kerana masih ramai yang tidak mendengar muzik sebegini," katanya pada sidang media Dangdut Asia baru-baru ini.

GABUNGAN EMPAT NEGARA ASIA

Katanya lagi, beliau berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan D'or Entertainment serta artis-artis dari empat negara Asia ini.

D'or Entertainment muncul dengan kelainan melalui album 'Dangdut Asia' yang menampilkan Kompilasi Dangdut terkini yang di terjemahkan dalam bentuk Audio CD & Konsert Mini gabungan semua artis dangdut dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Penerbit album itu, Shahril Shaari yang juga dikenali sebagai Dior berharap konsert ini dapat menarik perhatian stesen-stesen radio terhadap irama dangdut.

"Dengan adanya Mini Konsert Amal Dangdut Asia, muzik dangdut di Malaysia juga boleh menembusi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya kepada Bernama Lifestyle and Youth.

Bermula seawal jam 7 petang, mini konsert itu bakal dimeriahkan oleh barisan artis seperti Ayda Jebat yang akan menyanyikan lagu 'Pencuri Hati' versi dangdut, Dior, Rozita Rohaizad (single dangdut terbaru 'Anak Ikan'), Farez Adnan, Elda Susanti, Anis Aneesa, Ellisan Tan, Fauzi Hamzi, Amin Mahzun, Rubisa Tiasin dan ramai lagi artis dangdut dari Indonesia, Singapura dan juga Brunei.

Tiket adalah percuma dengan pembelian Album Kompilasi berharga RM19.90 bermula 13 hingga 23 Sept hanya Di Neway One Utama dan pintu masuk konsert pada 23 Sept. Album Kompilasi akan diserahkan pada hari konsert.

--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment